Penerbitan Mahathir: The Journey

Menurut penerbit merangkap Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media Group, Yusof Kelana, Mahathir: The Journey menampilkan kisah benar perjuangan Tun Mahathir selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri keempat sehingga dilantik semula selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.[3][6]

Katanya kepada Berita Harian: “Kami melakukan kajian selama tujuh bulan untuk merealisasikan kisah perjuangan Tun. Ia inspirasi kisah benar, malah babak bakal dipaparkan adalah kejadian yang berlaku selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003. Sebahagian babaknya pula kejadian sebenar yang tidak pernah diketahui umum. Skrip filem ini mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri. Bahkan, pegawai khas Tun, Sufi Yusof, sendiri meneliti dialog dan babak ke babak untuk memastikan tiada kesilapan fakta,”.[3]

Penggambaran dijalankan selama 2 bulan, dari 15 Disember 2019 sehingga 15 Februari 2020 di Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Alor Setar dan Pulau Pinang.[7][8] Penggambaran yang sepatutnya dilakukan di Hiroshima, Jepun terpaksa bertukar lokasi di Langkawi berikutan pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia ketika itu. Menurut Taha Wahid, proses menyiapkan filem biografi ini bukan mudah kerana perlu memaparkan situasi sebenar yang berlaku.[9]

Kos pembikinan filem ini dianggarkan berjumlah RM6 juta. Seramai 200 pelakon tambahan digunakan untuk babak di depan KLCC, serta babak kempen pilihan raya di Langkawi. Bagi babak perhimpunan BERSIH, 200 pasang baju kempen berwarna kuning telah dicetak bagi menjadikan adegan filem lebih realistik. Pasukan penerbitan turut meminta jasa baik Hotel Sheraton membina semula set yang sama ketika Dr. Mahathir berada di hotel berkenaan bagi menunggu keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-14.[9] Kos membina semula set itu berjumlah RM700,000. Menerusi satu perbincangan, pihak hotel bersetuju menaja tanpa bayaran dikenakan. Pemilihan pelakon juga mengambil masa yang agak lama, hampir dua bulan. Ini berikutan, ingin memastikan pelakon yang dipilih memiliki wajah seiras dan mampu membawakan watak yang diketengahkan.[9]

Azhar Amir yang terkenal dengan watak bapa dalam beberapa drama Melayu, dipilih melakonkan watak sebagai Tun Dr. Mahathir, manakala penyanyi, Fauziah Latiff melakonkan watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah. Sebanyak 29 watak penting juga ditampilkan dalam Mahathir: The Journey.[10] Ditanya mengenai pemilihannya sebagai Tun Mahathir, Azhar berkata kepada Harian Metro di majlis pelancaran filem ini: "Saya menggigil apabila ditawarkan melakonkan watak tokoh hebat seperti Tun Dr. Mahathir. Saya sendiri tidak sangka terpilih sedangkan ramai pelakon hebat dan terkenal datang [ke] proses uji bakat ketika itu".[11] Fauziah pula berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab besar melakonkan watak Tun Dr. Siti Hasmah. Sebagai persediaan, beliau melakukan kajian secara mendalam bagi menjayakan watak Siti Hasmah. Beliau berkata: “Saya akui ia tanggungawab yang sangat berat kerana ini filem pertama lakonan saya. Pada masa sama, saya masih baru dalam bidang ini dan masih banyak yang perlu belajar daripada pengarah serta pelakon lain. Saya banyak buat kajian mengenai Tun [Siti] Hasmah menerusi buku, suratkhabar, saluran YouTube dan sebagainya".[12]

Rujukan

WikiPedia: Mahathir: The Journey http://www.variaseri.com/2019/12/01/mahathir-journ... https://www.astroawani.com/berita-hiburan/mahathir... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://gempak.com/berita-terkini/perjalanan-filem... https://mahathirthejourney.com/en/ https://malaysiagazette.com/2019/11/11/azhar-jee-t... https://www.malaysiakini.com/hiburan/503049 https://www.projekmm.com/news/berita/2019/11/13/fi... https://bebasnews.my/?p=23220 https://origin.bharian.com.my/hiburan/selebriti/20...